Friday, 20 September 2024

Kentang Senyum 🥔🙂

Ubi Kentang merupakan bahan masakan pelbagai guna serta salah satu sumber karbohidrat dalam hidangan harian. Ubi kentang mengandung nutrisi seperti vitamin A, B-kompleks dan C. Ia cukup bermanfaat untuk kesihatan tubuh badan kerana tidak mengandungi lemak, garam dan kolesterol. Memakan ubi kentang juga dapat membantu menurunkan berat badan, membantu menjaga fungsi jantung dengan baik, melancarkan pencernaan dan banyak lagi kebaikan-kebaikan yang lain.

Pelbagai jenis masakan juga boleh dihasilkan dengan menggunakan ubi kentang. Seperti yang kebiasaannya kita sering menggunakan ubi kentang untuk memasak kari, sup ayam, tauhu begedil, kentang putar, kuih muih, snek dan pastri.

Cuti sekolah berbaki sehari je lagi. Gunakanlah kesempatan yang ada untuk 'bonding time' dengan anak-anak. Apa kata kali ini kita cuba tambahkan keceriaan anak-anak dengan membuat  kentang senyum ni..? Kasi anak-anak senyum ceria. Ajak anak-anak buat bersama. Anak-anak mesti suka. Yelah, macam makan kentang goreng kan.. Bentuknya pula comel-comel. Anak-anak pun lebih berselera nak makan. Yang penting, tiada penggunaan MSG atau sebarang jenis pengawet. Kira snek sihatlah ni. 

P/S : Kalau kentang pun saya boleh ukirkan dia senyuman, apatah lagi awak? 🤗
Ehh..tiberrrr 😀



RESIPI KENTANG SENYUM

Bahan-bahan :
- 5 biji kentang saiz sedang 
- 5 sudu makan serbuk roti (yang putih)
- 5 sudu makan tepung gandum 
- 5 sudu makan tepung jagung 
- ½ sudu teh garam 
- Secukupnya serbuk lada sulah 


Cara Membuat :

Rebus kentang hingga empuk dan toskan.Bila telah suam, lenyekkan.

Masukkan serbuk roti, tepung gandum dan tepung jagung. Uli hingga menjadi doh yang sebati.

Canaikan doh (tidak terlalu nipis tidak terlalu tebal)
Tekap bentuk bulat menggunakan gelas.

Untuk bahagian mata, gunakan straw saiz besar.


Untuk bahagian mulut, tekapkan dengan hujung sudu. Jadikan bentuk senyum 🙂

Tadaaa.. cantikkan.. 


Goreng dengan api perlahan hingga keperangan.
Kena goreng dalam minyak panas pun, awak masih tersenyum kan...🤗


Jika nak frozenkan, goreng separuh masak sahaja. Toskan kemudian masukkan dalam plastik dan simpan ditempat sejuk beku.

Siap untuk dihidangkan. Sedap dicicah bersama sos cili dan mayonis.






Others Stories to Explore 👇🏻